SHAH ALAM, 29 DIS: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) boleh dijadikan sistem integrasi untuk masyarakat mendapat maklumat berkaitan program Kerajaan Negeri.

Pengarah Selcare Management Sdn Bhd (Selcare) berkata aplikasi itu tidak hanya berfungsi untuk menjejak kontak rapat sebaliknya ia boleh diguna pakai bagi tujuan lain.

“Jika ditakdirkan pandemik Covid-19 berakhir, SELangkah boleh dimanfaatkan untuk perkara lain supaya rakyat dapat mengakses program anjuran Kerajaan Negeri contohnya pengguna Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) selepas ini hanya mengakses kod QR apabila membeli-belah berbanding mengguna kad sedia ada. Ia lebih mudah.

“Melalui aplikasi itu juga Kerajaan Negeri boleh tahu senarai barangan yang dibeli dan sekiranya mereka beli tidak sepatutnya kita boleh batal transaksi, pada masa sama boleh tahu ke mana ia dibelanjakan,” kata Muhammad Azfizam Hamzah.

Pengarah Selcare Management Sdn Bhd (Selcare) Muhammad Azfizam Hamzah menjawab pertanyaan moderator dalam program bual bicara Kitaran Covid-19 dan Kemelut Vaksin di Media Selangor pada 28 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian menerusi program bual bicara: Kitaran Covid-19 dan Kemelut Vaksin anjuran Media Selangor di sini malam tadi.

Turut serta, Pengarah Projek SELangkah Dr Helmi Zakariah.

Muhammad Azfizam berkata aplikasi itu dilihat memiliki pelbagai faedah lain boleh dimanfaatkan Kerajaan Negeri.

“Saya mendapati ia juga boleh dijadikan “Grab of Selangor” atau “Facebook of Selangor” yang mana masyarakat boleh akses apa sahaja di sekeliling mereka menerusi satu sistem,” tambahnya.

Leave a Reply