SHAH ALAM – Sehingga 15 Oktober 2020, sebanyak 589 kes baharu jangkitan Covid-19 telah dilaporkan di media. Ini menjadikan jumlah terkumpul kes positif Covid-19 di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 18,129 kes. Jika dilihat menerusi pecahan kes, Negeri Selangor telah mencatatkan sebanyak 150 kes iaitu 125 kes daripada kluster-kluster sedia ada; 13 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19; sembilan (9) kes saringan individu bergejala termasuk empat (4) kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dan tiga (3) kes daripada lain-lain saringan Covid-19. Manakala 111 kes dicatatkan telah pulih daripada jangkitan wabak tersebut.
Susulan daripada itu, kerjasama Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan & Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor yang dipimpin oleh YB Dr Siti Mariah Mahmud bersetuju melantik SELCARE Management Sdn. Bhd. milik anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, SELGATE Healthcare Sdn. Bhd. sebagai pembekal kit pembasmi Covid-19. Pengedaran kit-kit ini diuruskan oleh Selcare Pharmacy untuk diberikan kepada seluruh Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) yang berdaftar di Selangor secara percuma.
Pembekalan sebanyak 854 kit pembasmi Covid-19 untuk kegunaan Petugas TASKA disampaikan oleh YB Dr Siti Mariah Mahmud diiringi oleh Tuan Muhammad Azfizam Hamzah, Pengarah Syarikat SELCARE Management Sdn Bhd dan YM Tengku Iesta Tengku Alaudin, Ketua Pegawai Operasi SELGATE Healtcare Sdn Bhd.
Antara kelengkapan perlindungan diri yang disumbangkan terdiri daripada perisai muka, sarung tangan, pelitup muka, cecair sanitasi tangan 100 ml dan 500ml, apron plastik serta alat pengesan suhu badan untuk kegunaan selama sebulan.
Sumbangan dan sokongan yang diberikan kepada Petugas TASKA yang berdaftar ini adalah salah satu inisiatif bagi membendung dan memutuskan rantaian wabak Covid-19 di negeri Selangor.