26 Oktober 2023 – Kumpulan SELGATE dan anak syarikatnya, Selcare dan Selangkah diberi amanat oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurus dan melaksanakan inisiatif terbaru, Program Insentif Penjagaan Anak bagi Wanita Bekerja (MAMAKERJA). Insentif ini dilancarkan oleh YB Puan Anfaal Saari, Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor ini selari dengan pelaksanaan perkara ke-4 dalam 5 Tekad, 100 Hari yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor.
Melalui tema “Selangor Penyayang: Memartabat Penjaga, Melindungi yang Dijaga”, insentif MamaKerja merupakan strategi yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi meningkatkan partisipasi wanita Selangor dalam tenaga buruh sekaligus mengiktiraf peranan wanita dalam menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri. Selain itu, insentif ini secara tidak langsung akan merangsang sektor penjagaan seperti taska, tadika dan transit yang menjadi sistem sokongan utama bagi wanita bekerja.
Turut hadir bersama-sama bagi menjayakan Majlis Pelancaran ini adalah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Pegawai Kanan Kerajaan Negeri serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SELGATE, Dato’ Noor Hisham Mohd Ghouth.
Maklumat lanjut mengenai inisiatif ini boleh diperoleh melalui laman web rasmi di https://mamakerja.selangkah.my/. Sebarang pertanyaan berkenaan insentif ini boleh diajukan melalui talian hotline 24jam Selcare di 1-800-22-6600.